JANGAN SEMBUNYI PELAJAR TERLIBAT DADAH

JANGAN SEMBUNYI PELAJAR TERLIBAT DADAH

JOHOR BAHRU – Pihak sekolah diminta tidak menyembunyikan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan pelajar daripada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, kerjasama perlu diberikan bagi memudahkan masalah têrsebut dapat dibanteras dalam kalangan pelajar sekolah.

“Siasatan ini kita buat secara dalaman, kita pun akan rahsiakan sekolah yang terlibat termasuk tidak diuar-uarkan kepada umum.

“Apa yang penting adalah penyelesaian terhadap masalah ini dan pendekatan diguna lebih kepada mendidik, bukan menghukum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Blok Tercantik Sempena Kempen Bulan Kemerdekaan ke-63 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.

Mazlan baru-baru ini mendedahkan seramai 177 pelajar tingkatan empat dan lima dikesan terlibat dengan gejala penagihan dadah di Johor.

Perkara itu dibuktikan menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap 10,132 pelajar di 280 buah sekolah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mazlan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor juga mengalu-alukan siasatan polis dan tindakan itu penting bagi memastikan gejala penagihan dadah dapat dibanteras termasuk kêseluruhan rantaiannya.

“Kita alu-alukan siasatan oleh pihak polis dalam kes ini, tiada masalah. Tetapi pendekatan kita (JPN Johor) berbeza dengan polis.

“Kita lebih kepada usaha mendidik, maknanya bila terlibat bukan kita hukum tetapi halang daripada bertambah teruk. Perspektif polis berbeza, mereka nak banteras dari mana pembekalan dadah, itu bidang kuasa mereka dan kita tidak halang,” katanya. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: