JANGAN LEKA, TERUS PANTAU SUNGAI KIM KIM

JANGAN LEKA, TERUS PANTAU SUNGAI KIM KIM

PASIR GUDANG – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Kanser Pasir Gudang meminta kerajaan terutamanya agensi dan jabatan berkaitan supaya terus memantau keadaan Sungai Kim Kim di sini yang didakwa masih tercemar.

Pengerusi Sahabat Kanser Pasir Gudang, Zarina Abdullah berkata, perhatian perlu diberi terhadap 274 kilang di sepanjang jajaran Sungai Kim Kim bagi memastikan mereka terus mengikut peraturan dan tidak membuang sisa berbahaya.

“Pihak berkenaan antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS); Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus sentiasa melakukan pemeriksaan.

“Kita bimbang sekiranya pemantauan diabaikan atau diambil mudah, pencemaran terbaharu Sungai Kim Kim akan berulang malah lebih teruk daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pelancaran Badan Gabungan NGO Pasir Gudang di Taman Rinting di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Gelombang pertama pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 7 Mac tahun lalu apabila pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Tadika Bestari mengalami pening kepala, loya, muntah dan pengsan.

Pada 11 Mac tahun lalu, gelombang kedua berlaku dikesan di dua sekolah tersebut sebelum keesokanya merebak dan keadaan bertambah parah apabila pelajar-pelajar dari sembilan sekolah lain turut mengalami nasib yang sama.

Keadaan tersebut bertambah buruk dan Kementerian Pendidikan pada 13 Mac tahun lalu mengarahkan semua 111 sekolah di daerah ini ditutup diikuti semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Zarina berkata, ketika ini bau bahan kimia masih boleh dihidu pada sebelah pagi terutama di kawasan yang berdekatan industri.

“Ini perlu diberi perhatian dan tidak harus menunggu sehingga penemuan bahan sisa buangan baharu ditemui. Berdasarkan kajian, kesan menghidu bahan kimia akan diketahui dalam tempoh lima atau enam tahun,” katanya. – JT

(Visited 2 times, 2 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: