HASNI BERTEMU PM BINCANG PELAJAR ANTARABANGSA DIBENAR BERULANG-ALIK

HASNI BERTEMU PM BINCANG PELAJAR ANTARABANGSA DIBENAR BERULANG-ALIK

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad akan mengemukakan cadangan segera supaya 800 hingga 900 pelajar antarabangsa dapat berulang-alik dari Singapura ke Johor Bahru bagi meneruskan sesi persekolahan mereka.

Justeru, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

Isu tersebut dibangkitkan oleh sebuah institusi pendidikan antarabangsa dalam sepucuk surat kepada beliau baru-baru ini.

“Adalah satu kerugian bagi kerajaan Johor jika institusi pendidikan bertaraf antarabangsa itu terpaksa ditutup operasinya.

“Jadi untuk itu Johor akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya dapat memberi keutamaan dan pertimbangan kepada 800 hingga 900 pelajar yang berulang-alik seperti yang kita harapkan.

“Saya akan bertemu dengan Perdana Menteri dalam masa yang terdekat ini untuk menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri berkenaan perkara tersebut,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Johor (KMJ) 2019/2020 di Hotel Holiday Villa, di sini malam tadi.

Beliau berkata, hingga kini hanya dua kategori, iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) sudah dilaksanakan bagi tujuan rentas sempadan antara kedua-dua negara manakala bagi perjalanan ulang-alik harian masih belum ada persetujuan antara Malaysia dan Singapura.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media di negeri ini yang komited dalam melaporkan berita-berita berkenaan Kerajaan Negeri.

“Pengamal media di Johor ini tidak pernah jemu dalam membantu kerajaan negeri menyampaikan berita-berita, informasi yang penting, termasuk program serta dasar-dasar kerajaan untuk pengetahuan umum.

“Saya amat berterima kasih atas peranan yang dimainkan pengamal-pengamal media kerana peranan pengamal media ini amat penting dalam mencorak pemikiran rakyat.

“Lebih penting lagi, maklumat-maklumat yang disampaikan adalah maklumat yang tepat, adil dan saya rasa mampu untuk menjadi rujukan masyarakat secara umumnya. Terima kasih, pengamal-pengamal media,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Presiden KMJ, Mohd. Fauzi Ishak. – JT

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: