PASIR GUDANG – Penderitaan pasangan gelandangan yang tinggal di bawah bawah Flat Geharu, Taman Rinting di sini sejak sembilan bulan lalu berakhir apabila diberikan rumah sewa hari ini.

Khaled Jeri, 51, dan isteri, Rahimi Zakaria, 65, tidak mempunyai anak tinggal di bawah rumah flat itu yang bersebelahan tangga dalam keadaan daif dan tiada kemudahan air serta elektrik.

Mereka menggunakan papan dan almari lama sebagai kepungan yang menjadi seperti sebuah bilik tetapi tidak mempunyai pintu.

‘Bilik’ pasangan itu tidak memiliki tandas atau tempat memasak, kemudahan yang ada hanya dua tilam dan dua almari.

Walau bagaimanapun, nasib mereka mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang melawat pasangan tersebut.

Kedatangan Zakaria pada mulanya mahu menyampaikan sumbangan kepada pasangan itu yang merupakan 45 penerima bantuan dalam Majlis Permuafakatan Penduduk yang berlangsung di flat terrsebut hari ini, namun terkejut melihat keadaan mereka.

Zakaria yang terharu dengan keadaan mereka terus mengarahkan kakitangan Pusat Khidmat DUN Permas memindahkan mereka ke sebuah rumah di flat tersebut dengan sewa RM400 dibayar ADUN tersebut.

“Saya amat terkejut dan tidak menyangka masih ada gelandangan yang tidak mempunyai rumah dan hidup seperti ini di Johor. Saya merasa lega kerana mereka berjaya dipindahkan pada hari ini juga.

“Mereka akan tinggal sementara di rumah di sini dalam tempoh dua bulan sebelum kita carikan rumah baharu di sekitar kawasan Bandar Seri Alam atau Johor Jaya,” katanya ketika ditemui ketika melawat pasangan itu.

Sementara itu, pasangan berkenaan bersyukur kerana dipindahkan ke sebuah rumah baharu setelah hidup di bawah flat berkenaan dalam keadaan longkang berdekatan tersumbat, banyak nyamuk dan sampah dibuang merata-rata.

Rahimi mendakwa, mereka tidak mempunyai wang untuk menyewa bilik atau rumah kerana suaminya hanya bekerja mencari besi buruk dengan menggunakan basikal selain mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dengan duit bantuan JKM dan kerja mencari besi buruk kami menampung makan minum, kami terpaksa berjimat dan makan nasi berlauk telur hampir setiap hari. Saya tidak mampu bekerja kerana mempunyai sakit saraf dan suami pula menghidap batu karang dan gout,” katanya.

Jika mahu mandi dan mengambil air mereka akan pergi ke surau berdekatan manakala memasang lilin pada sebelah malam.

Makan minum pula dibeli dan kadangkala disumbangkan penduduk setempat yang bermurah hati. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *