PASIR GUDANG – Dua pekerja lelaki pengsan semasa mengecat dalam perut kapal di Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) Sdn Bhd, Jalan Pekeliling di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.34 petang.

Menurut beliau, dua pekerja berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mohd. Samdi, 30-an dan Mohd. Suffian, 26, dikatakan mengecat perut kapal dengan hanya menggunakan pelitup muka yang biasa.

“Difahamkan mereka tidak menggunakan topeng penapis pernafasan yang selamat semasa mengecat.

“Semasa melakukan kerja-kerja mengecat dinding perut kapal, kedua-duanya pengsan dipercayai terhidu bau cat yang sangat kuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kemudian seorang daripada mereka sedar semula dan keluar dari perut kapal lalu memberitahu pihak pengurusan MMHE terdapat seorang lagi masih berada dalam perut kapal.

Beliau memberitahu, mangsa itu kemudian mendapat rawatan kecemasan daripada pasukan tindakan kecemasan (ERT) MMHE sebelum menghubungi pihak BBP Pasir Gudang untuk mendapatkan bantuan.

Ibrahim berkata, 10 anggota BBP berkenaan dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

“Pihak bomba bertindak
memakai tiga set breathing apparatus (BA) dan memasuki ruang dalam kapal serta mengeluarkan
mangsa kedua dengan selamat,” katanya.

Mangsa tersebut katanya,
turut diberikan rawatan awal oleh ERT MMHE sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dengan menggunakan ambulan MMHE.

“Kita menasihatkan mereka mendapat rawatan di hospital kerajaan kerana bimbang kedua-duanya mendapat komplikasi atau kesan dalaman akibat terhidu bau cat,” ujarnya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *