DIHINA EIRA AZIERA, SUHARNIZAN LAPOR POLIS

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU – Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini selepas mendakwanya dirinya dimalukan seorang personaliti media sosial.

Menurut Suharnizan, 37, membuat laporan tersebut supaya tindakan dapat diambil terhadap personaliti tersebut, Noorazira Pissal atau lebih dikenali sebagai Eira Aziera.

Ibu kepada dua anak itu mendakwa, perbuatan Eira Aziera yang melakukan body shaming terhadapnya dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menyamakan fiziklnya sebagai haiwan adalah keterlaluan.

“Saya mengalami tekanan dan trauma. Saya juga menerima mesej peribadi tanpa henti, selain kemurungan dan gangguan emosi termasuk di tempat kerja. Saya kemudiannya mendapatkan nasihat peguam yang menyarankan tuntutan sivil dibuat terhadapnya,” katanya ketika ditemui.

Pada 18 Ogos lalu pukul 10 pagi, Suharnizan menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara ‘live’ sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook personaliti tersebut.

Personaliti itu membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya sebelum video berkenaan tular.

Namun tindakan personaliti tersebut mendapat kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosinya dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.

Suharnizan berkata, pada mulanya dia tidak menyedari video berkenaan menjadi tular sebelum dimaklumkan rakannya mengenai perkara itu.

“Apabila saya menyemak dan meneliti, saya mendapati individu itu sengaja melakukan perkara itu tanpa kebenaran mahupun pengetahuan saya.
Saya tidak mengambil apa-apa tindakan ketika itu dan mengharapkan perkara ini mati dengan sendirinya.

“Namun semalam, saya dimaklumkan terdapat satu paparan video yang dimuat naik dan dikongsikan dalam media sosial oleh pentadbir Facebook
yang menggunakan nama ‘Makcik Bawang Channel’ dan ‘Makcik Kiah Channel’ dengan kandungan video selama lapan minit memaparkan antara lain
menghina rupa fizikal saya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen,” katanya.

Dia mendakwa, selain paparan tular sehingga ke YouTube, terdapat juga pihak tidak dikenali cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan
imejnya iaitu mewujudkan Facebook dan Page palsu atas namanya.

Sementara itu, peguamnya, Mohd Rasheed Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar notis tuntutan sivil kepada personaliti itu yang
merangkumi permohonan maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

Pihaknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat kerana ‘body
shaming’ boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *