DERITA PEMANDU GRAB, MANGSA LANGGAR LARI

DERITA PEMANDU GRAB, MANGSA LANGGAR LARI

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu peribahasa yang susuai untuk menggambarkan penderitaan yang dialami Mohammad Fakrul Azam Md Rosli, mangsa langgar lari di persimpangan lampu isyarat Jalan Kangkar Tebrau di sini pada 26 Jun lalu.

Mohammad Fakrul, 22, merupakan seorang penunggang grab makanan terlibat kemalangan pada hari lahirnya dan tragedi tersebut mengubah perjalanan hidup dan masa depannya.

Apa yang paling menyedihkan, Mohammad Fakrul merancang untuk membeli kek sejurus tamat bekerja untuk dihadiahkan kepada ibunya sebagai rasa terima kasih kerana membesarkannya.

Abangnya, Mohd. Fakhrudin, 26, berkata, adiknya terlibat kemalangan selepas sebuah kereta keluar tiba-tiba dari persimpangan itu tidak lama selepas dia keluar rumah untuk bekerja menghantar makanan.

“Akibat kemalangan tersebut, Mohammad Fakrul parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana mengalami kecederaan parah di kepala serta patah tulang bahu serta paha kanan.

“Kesan daripada kemalangan itu juga, mata sebelah kanannya tidak boleh dibuka sepenuhnya dan dia tidak boleh berjalan selama kira-kira lima bulan. Dia hanya dibenarkan pulang setelah tiga minggu ditahan di wad HSA,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan barang keperluan asas dan kerusi roda daripada dua pertubuhan bukan kerjaan (NGO), Volunteer Pasir Gudang dan Geng Tolong Orang (GTO) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini hari ini.

Mohd. Fakhruddin yang masih belajar di kolej sedih melihat keadaan adiknya yang dahulunya seorang yang aktif dan ceria namun kini hanya mampu terlantar dan terbaring di atas katil.

“Dia hanya minum susu menerusi saluran tiub setiap tiga hingga empat jam sehari dan terpaksa memakai lampin pakai buang,” katanya.

Keluarganya membelanjakan RM800 sebulan membeli susu dan lampin untuk Fakrul Azam selain membayar sewa ambulans RM600 bagi menghantarnya menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Katanya, bapa Mohammad Fakrul iaitu Md Rosli Md Nor, 58, sudah tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu manakala isterinya, Asiah Seman, 62, juga tidak bekerja dan mengalami masalah penglihatan.

Ketika ini katanya, hanya adik Mohammad Fakrul iaitu Nur Hidayah, 20, yang menampung keluarga dengan bekerja kilang dan mereka amat memerlukan sumbangan antaranya untuk membeli lampin dewasa, kain batik dan alat katil khas.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, boleh berhubung dengan Mohd Fakhruddin menerusi talian 017-8099640 atau sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Mohd Fakhruddin
Md Rosli 151285075388. – JT

(Visited 3 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: