CAMPUR DENGAN HASIL PERTANIAN ADA PERMIT UNTUK SELUDUP KE SINGAPURA

ISKANDAR PUTERI – Meletakkan hasil pertanian yang tidak mempunyai permit eksport bersama-sama bahan makanan lain yang ada permit bagi mengelirukan pihak pengkuat kuasa semasa melakukan pemeriksaan.

Itulah antara modus operandi dilakukan seorang pemandu lori semasa cuba melepasi sekatan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini pukul 8 malam tadi, namun cubaan itu gagal dan berjaya dikesan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, taktik tersebut gagal dan hasil pertanian itu yang cuba dibawa masuk ke Singapura dirampas.

“Antara yang kita temui dan rampas udang ketak, ikan jenahak dan daun pandan semuanya bernilai kira-kira RM2,000.

“Kebanyakan dagangan yang ditahan diletakkan sekali bersama-sama dagangan lain yang patuh pada syarat untuk mengelirukan Pegawai Maqis semasa menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport sah daripada Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,0000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara.

“Ini bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara sekali gus mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *