BOLEH BUAT AKTIVITI KEAGAMAAN DI MASJID, SURAU SELURUH JOHOR MULAI JUMAAT

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membenarkan semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti keagamaan di seluruh masjid dan surau bermula Jumaat ini.

Kebenaran itu diberikan selepas enam bulan tidak sebarang aktiviti keagamaan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri seperti peruntukan Fasal 57 (A) Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Johor 1895 dan Seksyen Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti seperti program membudayakan al-Quran dan sunnah dibenarkan tidak melebihi 30 minit selepas solat.

“Program bacaan surah Yassin dan tahlil dalam tempoh antara solat Maghrib hingga Isyak. Program kuliah takmir masjid dan surau, iaitu kuliah Maghrib dilaksanakan selepas solat Maghrib hingga Isyak, manakala kuliah subuh, dhuha, zuhur dan Tazkirah Jumaat dan kuliah Isyak dalam tempoh tidak melebihi sejam.

“Bacaan surah al-Mulk dan al-Kahfi, program dakwah seperti kursus jenazah, haji dan umrah, praperkahwinan, kelas tafaquh berkitab, kelas pengajian al-Quran seumpamanya, program selawat, ratib dan wirid serta program hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul dan seumpamanya, dilakukan berdasarkan waktu sebenar program.

“Tiada had digariskan, kapasiti individu bergantung kepada keluasan masjid dan surau serta melakukan penjarakan fizikal,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Tosrin berkata, semua pihak terbabit dengan pengurusan masjid dan surau serta umat Islam di negeri ini perlu mematuhi arahan.

“Mereka perlu mematuhi arahan dan garis panduan dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ), termasuk memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu serta merekodkan kehadiran, selain memastikan penjarakan fizikal sepanjang berada di masjid dan surau,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *