ANNUAR DIKUARANTIN

ANNUAR DIKUARANTIN

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Koordinator BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Tan Sri Annuar Musa diarahkan menjalani kuarantin di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu bermula hari ini.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya sebentar tadi, perintah pengawasan dan pemerhatian itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu berikutan kontak terdekatnya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii, dilaporkan positif COVID-19.

“Saya sudah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan COVID-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, hari ini.

“Ini berikutan kontak dekat saya dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang kini disahkan positif. Saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Setakat ini, Annuar berkata beliau sudah menjalani dua ujian saringan COVID-19.

“Untuk makluman, dua hari lalu, saya jalani ujian RT-PCR COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan negatif. Hari ini saya menjalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu dan keputusannya dijangka diperoleh sehari dua lagi,” katanya.

Beliau turut memohon maaf kerana semua jadual ceramah perdana dan lawatan yang sudah disusun terpaksa dibatalkan berikutan perlu mematuhi perintah kuarantin.

“Dukacita saya maklumkan semua jadual saya termasuk ceramah perdana bersama Perdana Menteri malam ini, lawatan ke Pitas dan Kota Belud esok dan program lain yang disusun terpaksa dibatalkan.

“Bagaimanapun, saya akan terus bertugas dari kediaman dan boleh menyertai komunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa,” katanya.

Semalam, tiga calon bertanding pada PRN Sabah perlu menjalani kuarantin 14 hari berikutan dikenal pasti sebagai kontak rapat Razlan yang disahkan positif COVID-19, baru-baru ini. – BH

(Visited 2 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: