8,707 KES DENGGI DI JOHOR DENGAN 32 KES KEMATIAN

8,707 KES DENGGI DI JOHOR DENGAN 32 KES KEMATIAN

JOHOR BAHRU – Situasi denggi di negeri ini amat membimbangkan apabila mencatatkan 8,707 kes sejak awal tahun hingga 12 September lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Aman Rabu berkata, statistik Johor Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menunjukkan peningkatan 6.2 peratus berbanding 8,200 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Dalam tempoh itu juga sebanyak 32 kes kematian dilaporkan pada tahun ini berbanding dengan 21 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, JKNJ melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), SWCorp dan polis bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Dalam operasi bersepadu itu, pemilik premis yang didapati menjadi tempat pembiakan jentik-jentik akan dikompaun RM500 dan jika gagal membayarnya, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam JKNJ mengadakan operasi di kawasan wabak denggi di Bandar Baru Uda di sini kerana kawasan itu sebelum ini tidak memberi kerjasama dengan tidak membenarkan premis mereka dimasuki untuk dibuat pemeriksaan pembiakan Aedes.

“Sebanyak 1,014 premis telah diperiksa semasa operasi ini dan daripada jumlah tersebut sebanyak 14 premis atau 1.3 peratus didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

“Di persekitaran awam pula, sebanyak 26 tempat pembiakan ditemui antaranya bekas-bekas plastiik dan pasu bunga yang terbiar,” katanya.

Menurutnya, sejak 1 Januari sehingga 12 September lalu sebanyak 156 kes denggi telah dilaporkan dari kawasan berkenaan. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: