71 PEMANDU WARGA ASING DITAHAN JPJ

JOHOR BAHRU – Seramai 71 pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dalam operasi khas yang diadakan sejak Isnin lalu.

Mereka terdiri daripada 37 warga Rohingya, 25 Pakistan, enam Bangladesh dan tiga India sepanjang operasi khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dijalankan.

Seramai 31 pegawai dan anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi khas tersebut yang dijalankan di sekitar bandar raya ini.

Pemangku Pengarah JPJ negeri, Azmil Zainal Adnan berkata, sebanyak 251 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta kaedah-kaedah pengangkutan jalan.

“Sebanyak 130 buah kenderaan diperiksa dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya di sini hari ini.

Katanya, hasil risikan selama sebulan mendapati pemandu warga asing memandu kenderaan tanpa lesen yang sah termasuk membawa motosikal yang diubah suai menjadi kenderaan tiga roda bagi tujuan mengutip atau membawa barangan lusuh.

“Kawasan Kempas merekodkan jumlah tertinggi tangkapan warga asing yang membawa motosikal beroda tiga bagi melakukan kerja itu,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat juga mereka yang membawa kenderaan perkhidmatan barangan seperti van dan lori bagi tujuan perniagaan seperti menghantar pesanan barangan.

Justeru, Azmil mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka melanggar peraturan yang ditetapkan dan JPJ memandang serius perkara itu.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Justeru, JPJ menekankan bahawa pemandu warga asing di negara ini adalah tidak dibenarkan memandu kenderaan perkhidmatan barangan dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu tersebut,” ujarnya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *