45,000-200,000 DIJANGKA DIBERHENTIKAN DI SINGAPURA

ISKANDAR PUTERI – Ahli-ahli ekonomi Singapura meramalkan antara 45,000 sehingga 200,000 akan diberhentikan kerja di Singapura sekiranya ekonomi republik itu semakin menguncup.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sekiranya perniagaan di Singapura mengecilkan operasi mereka, ribuan rakyat Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura berkemungkinan besar akan diberhentikan dahulu.

“Meskipun begitu, ekonomi Malaysia dan Johor mula memaparkan tanda-tanda awal pemulihan sejak bulan Jun lalu berikutan pembukaan perniagaan secara beransur-ansur.

“Sektor pelancongan mula menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur dipacu oleh pelancong domestik. Tourism Johor merekodkan seramai 84,588 pelancong telah menginap di Johor pada Jun 2020 berbanding hanya 585 pelancong bermalam pada Mei 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (Stulang-PH) berkenaan rancangan kerajaan negeri dalam membantu memulihkan perdagangan dan ekonomi Johor akibat koronavirus (COVID-19) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni berkata, pelbagai promosi telah dijalankan sejak sektor perhotelan dibuka semula malah kerajaan negeri juga turut memperuntukkan sejumlah RM17.34 juta.

Tujuannya untuk memberi bantuan one off kepada 935 pemandu pelancong; insentif galakan pelancongan kepada syarikat agensi pelancongan; pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pemillik syarikat pelancongan dan pengecualian duti hiburan.

“Ini semua demi merancakkan sektor ekonomi pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ekonomi Johor akan kekal berdaya tahan terutamanya sebagai sebuah negeri paling maju di Malaysia.

Beliau berkata, ekonomi Johor didukung dengan kepelbagaian sub sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian serta pengurusan fiskal yang kuat dan hutang rendah.

Daripada segi hutang katanya, Johor merekodkan nisbah hutang kasar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang paling rendah di belakang Pulau Pinang dan Selangor.

“Memandangkan asas-asas yang kuat ini, ia harus dapat mengatasi sebarang cabaran ekonomi yang akan datang.

“Secara keseluruhan, Johor kemungkinan besar akan mengalami pemulihan berbentuk V pasca pandemik COVID-19,” ujarnya. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *