PASIR GUDANG – Dua pemandu lori cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan enam lori di Jalan Pekeliling, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari, sebuah lori membawa muatan gula pasir tidak sempat membrek ketika di persimpangan lampu isyarat di jalan berkenaan.

Lori pasir berkenaan kemudian terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar lima lori lain sebelum masuk ke dalam parit besar di tepi jalan itu.

Pamandunya, Nur Fizal Ramli, 41, terperangkap di tempat duduknya.

Seorang lagi pemandu lori yang membawa muatan ayam turut cedera manakala empat pemandu lori lain terselamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Bomba Kanan II Anuar Abdullah berkata,
kemalangan tersebut mengakibatkan lori-lori terbabit menghalang lalu lintas hingga menyebabkan jalan tersebut sesak beberapa kilometer.

“Semasa kejadian semua kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat tersebut.

“Jalan berkenaan terpaksa ditutup dan pihak polis membuat satu lencongan untuk pengguna jalan raya yang mahu ke pusat bandar,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, lapan anggota BBP Pasir Gudang dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan rescue tools,” katanya.

Jelasnya, semua mangsa kemudian dibawa dengan ambulan untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pukul 2.48 petang. – JT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *