175 PELAJAR TERLIBAT KES KEMALANGAN

175 PELAJAR TERLIBAT KES KEMALANGAN

KULAI – Sebanyak 175 Kes kemalangan jalan raya dicatatkan yang melibatkan pelajar sekolah dari Januari hingga bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan memberitahu, daripada jumlah itu, kemalangan maut melibatkan 75 kes; cedera parah (41); cedera ringan (37) dan kemalangan dengan kerosakan (22).

“JSPT Johor memandang serius berkaitan isu peningkatan kadar kemalangan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Ini termasuk penglibatan pelajar dengan aktiviti tidak bermoral seperti samseng jalanan, basikal lajak dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas
Program Ops Didik JSPT Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar di sini hari ini.

Katanya, JSPT Johor mengingatkan semua ibu bapa dan penjaga supaya mengambil berat dalam pemantauan anak-anak dan tidak mengambil mudah dengan membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen.

Menurutnya, pelajar tidak boleh dibenarkan menunggang motosikal atas alasan yang tidak sewajarnya kerana akan mengundangkan bahaya kepada mereka dan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, beliau berkata, objektif program Ops Didik adalah memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya, kefahaman tentang undang-undang dan pencegahan daripada aktiviti tidak bermoral.

Ujarnya, ini termasuk secara tidak langsung memberi kesedaran tentang tanggungjawab ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak.

“Hasil pemeriksaan terhadap 47 buah motosikal dalam Ops Didik SMK Kulai Besar, 24 keping saman telah dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan.

“Antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran, LKM tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran dan lain-lain kesalahan,” katanya.

Turut disita katanya, 14 buah motosikal atas kesalahan tiada lesen memandu dan mereka dikehendaki datang ke balai polis untuk tujuan dokumentasi. – JT

(Visited 1 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: