KOTA ISKANDAR – Kerajaan negeri menubuhkan Majlis Digital Johor bagi mempercepatkan proses dan hasrat untuk memiliki sebuah Bank Digital pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pembentukan majlis berkenaan juga bagi membantu menerapkan budaya digital dalam kalangan peniaga dan rakyat negeri ini.

”Bagi membolehkan usaha untuk mewujudkan Bank Digital ini menjadi kenyataan, ia perlulah mempunyai masyarakat yang mempunyai gaya hidup dan menggunakan segala aspek digital sebagai gaya hidup seharian mereka,” katanya semasa melancarkan Kempen Johor E-Marketplace di ruang legar Aras 1, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Mohd. Izhar Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani merangkap Pengerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB).
Pada majlis tersebut, Hasni turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PUJB, iaitu anak syarikat kumpulan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dengan Shopee Malaysia yang menganjurkan Kempen Johor E-Marketplace menerusi platform e-dagang Shopee berkenaan.

PUBJ diwakili Pengarah Eksekutifnya, Tuan Haji Ashari Kasnan, manakala Shopee Malaysia oleh Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG), Encik Tan Ming Kit.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menegaskan, golongan usahawan perlu merebut peluang dan potensi besar e-dagang dalam memasarkan produk masing-masing kerana platform itu merupakan normal baharu dunia perniagaan yang semakin berkembang pesat.

Johor E-Marketplace yang berlangsung dari 9 Ogos hingga 31 Disember ini merupakan sebuah laman mikro khas yang akan menampilkan puluhan ribu produk hasil buatan peniaga Johor dalam pelbagai kategori seperti makanan ringan, fesyen serta peralatan rumah.

Kerajaan negeri turut memberi baucer sebanyak RM500,000 kepada pengguna membeli pelbagai jenis barangan yang dijual sempena kempen berkenaan.

”Kewujudan Johor E-Marketplace ini diyakini mampu memberikan impak positif dan memacu pertumbuhan ekonomi di Johor apatah lagi negeri ini merupakan antara kuasa baharu ekonomi Malaysia selain kedudukannya yang strategik, termasuk berjiran dengan sebuah negara maju, Singapura,” katanya.

Kempen Johor E-Marketplace juga merupakan penanda aras penerimaan rakyat di seluruh negara terhadap produk Johor, katanya.

“Justeru, kerajaan negeri berharap golongan usahawan perlu bersikap lebih proaktif dalam menyediakan diri untuk lebih berdaya saing.

”Usaha tersebut tidak akan berjaya jika usahawan tidak memainkan peranan dalam memastikan perniagaan yang diceburi mempunyai tahap kemampanan (sustainability) menerusi pembentukan pelan tindakan pembangunan perniagaan (business blueprint) yang jelas dan mempunyai visi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *