JOHOR BAHRU – Johor akan menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri bagi memastikan pengeluaran pertanian dan industri makanan yang mampan, berkapasiti, holistik serta produktiviti yang tinggi dapat dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali berkata, penubuhan jawatankuasa itu amat tepat kerana Johor merupakan penyumbang terbesar pengeluaran makanan dalam negara.

Beliau berkata, pada masa ini Johor merupakan pengeluar utama buah-buahan, sayur tanah pamah, tanaman industri, keledek, keladi, ubi dan telur.

“Populasi petani industri agro makanan di negeri ini adalah yang terbesar dalam negara melibatkan kira-kira 20,000 petani yang menyumbang terhadap pengeluaran produk agrikultur bernilai lebih RM1 bilion setiap tahun hingga menembusi pasaran Singapura.

“Berkenaan sekuriti makanan ini juga, selain memastikan pengeluaran sumber makanan yang berterusan, murah dan berkualiti, kita juga harus memastikan bahawa taraf hidup serta sosio-ekonomi petani bertambah baik dan bukan sekadar meraih pendapatan minimum,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2020 di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Azreen Basir.

Samsolbari berkata, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang turut melibatkan agensi berkaitan serta pakar dalam bidang terbabit.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diharap dapat menangani masalah jualan dan pemasaran tanaman petani yang dialami sebelum ini.

Jawatankuasa berkenaan juga berperanan untuk mewujudkan integrasi dan melengkapkan rantaian nilai dalam sektor pertanian melibatkan pengeluar, pengumpulan dan jualan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *