KULAI: Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang warga emas di Taman Senai Jaya, Senai, dekat sini, direman enam hari bermula hari ini.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin membenarkan permohonan reman berkenaan yang dikemukakan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut kes berkenaan terhadap kedua-dua suspek berusia 34 dan 46 tahun itu yang dipercayai teman serumah.

Semalam, media melaporkan seorang warga emas berusia 55 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan cedera parah di rumahnya di Taman Senai Jaya, Senai.

Kejadian berkenaan dimaklumkan seorang pemanggil di kawasan berkenaan kepada IPD Kulai pada jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow dilaporkan berkata, pihaknya dan pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan proses siasatan.

“Semakan ke atas mangsa mendapati ada kecederaan iaitu kesan torehan di kepala, lebam di sebelah kiri kepala dan kesan lebam di bahagian mata sebelah kiri.

“Semakan dan pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian menemui sebilah pisau lipat terselit antara ibu jari telunjuk tangan kiri mangsa.

“Kita turut menjumpai sebatang kayu kepala katil berbentuk bulat di dalam longkang belakang rumah yang mempunyai kesan darah,” katanya.- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *