KOTA ISKANDAR – Anak syarikat milik kerajaan negeri, PDT Oil Gas Services Sdn. Bhd. (PDT O&G) memeterai perjanjian dengan PS Poly Pack Sdn. Bhd. (PS Poly Pack) dan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), hari ini.

Lebih bermakna, majlis tersebut diadakan di Pejabat Menteri Besar Johor.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu memberitahu, kedua-dua perjanjian itu merupakan salah satu perancangan strategik PDT O&G dalam usaha meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi membangunkan ekonomi syarikat-syarikat di Johor.

“PDT O&G dan PS Poly Pack akan bekerjasama dalam skop pembuatan dan pembekalan produk berasaskan plastik di Johor.

“Menerusi jalinan usaha sama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama mempelbagaikan pelan perniagaan dalam bidang berkaitan, khususnya industri penghasilan produk plastik yang merupakan salah satu industri paling rancak dalam sektor pembuatan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sementara itu, kerjasama PDT O&G menerusi anak syarikatnya, PDT Training Sdn. Bhd., dengan KPYPJ adalah melibatkan latihan kemahiran yang berkaitan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

“Latihan itu diharap dapat meningkatkan kepakaran teknikal, kemahiran pengurusan dan pendedahan projek mega menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman kepada para kontraktor di Johor.

“Kerajaan Negeri Johor juga melihat perkara ini sebagai salah satu peluang yang baik bagi membantu PDT O&G dalam memperluaskan pemasaran syarikat sebagai pemain industri minyak dan gas di Pengerang,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah PDT O&G, Mohd. Shahrin Rahmat, manakala PS Poly Pack diwakili Pengarah Urusannya, Ir. Mohd. Zain Harun dan KPYPJ oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YPJ, Azman Mohamed Shah.

Turut hadir, Presiden PDT O&G Services, Lokman Abu Bakar dan Ahli Lembaga Pengarah PDT O&G Services, Ir. Haji Kormain Mohd. Noor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *