JOHOR BAHRU – Ahli-ahli Pas akan dilantik sebagai Ahli Majlis di kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, mereka akan bersama-sama wakil UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan turut mengisi kekosongan jawatan Ahli Majlis berkenaan.

“Pelantikan ini membuktikan kerjasama UMNO dan Pas negeri menerusi Muafakat Nasional (MN) yang berjaya dizahirkan.

“Berkenaan lantikan Ahli Majlis daripada Pas, perkara ini telah ditetapkan dan ia bergantung kepada keadaan. Misalnya kawasan majoriti Melayu seperti Pengerang, Kota Tinggi dan Mersing,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pemantau MN Johor di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Mesyuarat kedua itu dipengerusikan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin. Turut hadir barisan kepimpinan negeri kedua-dua parti.

Pelantikan berkenaan bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli Majlis yang ditinggalkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sejak Mac lalu ekoran pertukaran kerajaan negeri.

Sementara itu, Abdullah berkata, pelantikan ahli Pas dalam jawatan berkenaan akan menyaksikan keberadaan parti berkenaan di peringkat kepimpinan negeri ini secara lebih jelas.

“Keberadaan Pas dalam kerajaan Johor semakin jelas (dengan pelantikan sebagai Ahli Majlis). Dulu juga ada tetapi sekarang lebih jelas.

“Pelantikan ini sekali gus melegakan ahli Pas untuk beri sokongan padu terhadap kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, dalam mesyuarat berkenaan, kedua-dua parti juga bersetuju mengadakan Konvensyen Muafakat Nasional bagi mengukuhkan kerjasama di peringkat negeri. – JT


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *