POLIS JOHOR TUMPASKAN SINDIKET SELUDUP PATI

JOHOR BAHRU, 08 JUN 2020: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) antarabangsa di negeri ini yang mengaut keuntungan lebih RM60.48 juta dan menyeludup kira-kira 43,200 PATI sejak 2014.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket penyeludupan PATI terancang terbabit tumpas selepas pihak polis melakukan operasi serbuan berskala besar antara Khamis lalu hingga semalam.

“Ianya hasil serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dibantu D3 dan D14 Siasatan Jenayah Terancang, JSJ Bukit Aman.

“Hasil siri serbuan empat hari sehingga semalam itu, 40 ahli sindiket membabitkan 21 rakyat tempatan termasuk seorang wanita serta 19 warga Indonesia berusia antara 22 hingga 58 tahun berjaya ditahan, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurut Ayob, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif dalam penyeludupan keluar masuk PATI di pesisiran Pantai Timur Johor sejak 2014 lagi.

“Sindiket berkenaan mengaut keuntungan begitu lumayan berikutan membawa masuk atau keluar kira-kira 600 PATI sejak 2014 dengan bayaran sehingga RM1,400 seorang.

“Ia bermakna sindiket ini menguruskan sejumlah 43,200 PATI sama ada masuk atau keluar secara haram dari negara ini dengan keuntungan melebihi RM60.48 juta,” katanya.

Tambah Ayob, ketua sindiket antarabangsa berkenaan dipercayai menguruskan kumpulan jenayah terancangnya itu dari Batam,Indonesia.

“Polis Johor akan mendapatkan kerjasama Polis Indonesia bagi mengesan ketua sindiket penyeludupan PATI berkenaan dalam masa terdekat.

“Sindiket ini sudah merekrut pekerja mereka terutama penghubung (transporter) menerusi tapisan ketat sebelum diterima bekerja bagi mengelakkan jenayah mereka terbongkar dan dikesan pihak berkuasa, katanya

Menurut beliau, enam dalang utama dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI itu membabitkan ketua sindiket, ejen atau pengurus, penghubung (transporter), tekong darat, penjaga tempat penampungan atau penginapan dan tekong laut.

“Ejen, penghubung,tekong darat dan laut juga dipercayai mendapat komisen antara RM250 hingga RM350 setiap PATI.

“Manakala, 40 ahli sindiket yang ditahan itu membabitkan ejen (3), penghubung (10), tekong darat (15) dan penjaga rumah penampungan (12).

“Pihak polis juga turut merampas 16 kereta, sebuah van, 8 bot fiber dan 114 telefon bimbit.

“Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)2012 SOSMA,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *