KUCHING, 6 April (Bernama) — Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memperuntukkan tanah seluas 111 hektar untuk penanaman kopi bagi meningkatkan lagi hasil keluaran kopi di negeri ini.

Antara kawasan yang sesuai untuk penanaman kopi tersebut adalah Miri, Limbang, Kuching dan Mukah.

Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tahun ini kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM3,150,000 untuk penanaman kopi di keempat-empat kawasan tersebut berbanding RM2,150,000 untuk tahun 2018.



“Kementerian sedar tahap pengeluaran kopi bagi setiap hektar di Sarawak adalah sangat rendah berbanding dengan purata kebangsaan sebanyak 3.9 tan sehektar.

“Perkara ini terjadi disebabkan oleh banyak faktor, antaranya faktor logistik, persekitaran, jenis benih yang dipilih dan juga kekurangan kepakaran dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Ik Pahon Joyik semasa majlis perasmian Simposium Kopi Borneo di Auditorium, Mahkamah Lama Kuching di sini, hari ini.

Uggah berkata, pada tahun 2017, Sarawak telah menghasilkan sebanyak 20.7 tan metrik kopi yang ditanam di atas tanah seluas 247 hektar dengan jumlah kawasan penuaian 41.2 hektar.

“Dari 2014, terdapat peningkatan dari segi penanaman kopi di negeri ini dan sejumlah 193 hektar telah direkodkan manakala tahun lepas sejumlah 268 hektar telah direkodkan secara keseluruhannya. Angka-angka semasa ini adalah petunjuk sederhana pertumbuhan masa depan yang eksponen.

“Justeru, melalui simposium ini para delegasi dapat memperoleh pelbagai manfaat mengenai pengeluaran dan penanaman kopi daripada yang pakar dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran kopi di negeri ini seterusnya meletakkan Sarawak dalam peta kopi dunia,” katanya.







Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 4 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.