KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan bajet tambahan sebanyak RM19.6 bilion seperti yang dicadangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ia dicapai apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2018) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan mendapat undian majoriti.

Lim sewaktu membentangkan RUU itu pada Selasa berkata perbelanjaan tambahan sebanyak RM19.6 bilion, tidak akan menjejaskan sasaran defisit fiskal 3.7 peratus yang telah ditetapkan kerajaan bagi 2018 kerana ia merupakan sebahagian daripada perbelanjaan sebenar bagi tahun berkenaan.



Lim berkata daripada anggaran perbelanjaan tambahan RM19.6 bilion, RM15.49 bilion merupakan perbelanjaan pembangunan dan RM4.13 bilion lagi merupakan perbelanjaan mengurus.

“Seperti yang dijelaskan, RM6.3 bilion merupakan komitmen kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan dan RM4.3 bilion merupakan peruntukan tambahan yang diperlukan untuk bayaran khidmat hutang di luar kunci kira-kira yang dipinjam oleh kerajaan terdahulu.

“Baki sebanyak RM9 bilion pula bukan merupakan perbelanjaan tambahan, sebaliknya adalah pengklasifikasian semula perbelanjaan, terutama perbelanjaan mengurus kepada pembangunan,” katanya.

Ini termasuk perbelanjaan RM2 billion bagi pembiayaan pengajian pelajar dalam dan luar negara di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), bayaran balik pinjaman Dana Infra sebanyak RM1 bilion serta bayaran khidmat hutang Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sebanyak RM3.9 bilion.

Selain peruntukan mengklasifikasikan semula perbelanjaan, sebanyak RM1.9 bilion juga diperuntukkan untuk pindahan lebihan hasil kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Katanya, secara keseluruhan perbelanjaan sebenar 2018 bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM289 bilion berbanding RM280 bilion yang telah diluluskan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.







Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 13 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.