KLUANG, 26 Mac (Bernama) — Kerajaan negeri berkemungkinan melaksanakan pembenihan awan awal bulan hadapan sekiranya cuaca panas dilihat berlarutan sehingga menjejaskan paras air di semua empangan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata bagaimanapun pembenihan awan itu akan melihat kepada kesesuaian lokasi dan juga dari segi kos.

“Memang, saya baru bincang, ia (pembenihan awan) satu usaha yang mungkin kita akan buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Empangan Machap, dekat sini hari ini.



Buat masa ini, kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan sentiasa membuat pemantauan dan akan melihat kepada keadaan cuaca terutamanya pada minggu ini.

“Sekiranya cuaca minggu ini tidak membantu, maka awal bulan hadapan kita kena tengok berkemungkinan melakukan pembenihan awan,” katanya.

Difahamkan kos pembenihan awan melibatkan sebanyak RM500,000 hingga RM600,000 (10 kali penerbangan).

Bagaimanapun, Puah berkata mengikut Jabatan Meteorologi kini merupakan fasa peralihan monsun dan dijangkakan lebih banyak hujan akan turun di negeri ini.

“Bagaimanapun kita nampak cuaca mungkin ada perubahan. Diharap dengan turunnya hujan yang cukup, kita boleh elakkan daripada apa-apa gangguan bekalan air.

“Memang sekarang kita dah sampai satu tahap yang kritikal tetapi semuanya terkawal, tertakluk kepada cuaca akan datang,” tambah Puah.

Empangan Machap, yang fungsi utamanya adalah tebatan banjir, kadangkala dilepaskan untuk membantu bekalan Loji Rawatan Air Simpang Renggam, yang kini membekalkan air kepada 125,000 pengguna di Pontian Utara dan Simpang Renggam.

Sementara itu, bekalan air kepada 125,000 pengguna di Pontian Utara dan Simpang Renggam telah pulih susulan pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap sejak Sabtu lepas.







Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 45 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.