PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga asing dan tempatan dalam dua serbuan berasingan di Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata operasi kedua-dua sindiket berkenaan sejak lebih tiga tahun lepas menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM7.2 juta dari segi bayaran levi pas lawatan kerja sementara (PLKS) sektor perkhidmatan.

Beliau berkata Jabatan Imigresen merampas 1,150 pasport yang sebahagian besarnya milik warga Bangladesh, dan menahan 17 warga Bangladesh serta seorang warga tempatan dalam kedua-dua serbuan itu.



Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat Jabatan Imigresen di sini hari ini, katanya dalam serbuan pertama di sebuah kediaman di Ampang pada 5 Mac lepas, lapan warga Bangladesh ditahan atas kesalahan memalsukan dokumen dan pelekat pas lawatan sosial.

Menurutnya 110 pasport Bangladesh, tujuh pelekat JIM palsu, enam telefon pintar, tiga komputer riba dan sebuah mesin pencetak dirampas dalam serbuan itu.

Beliau berkata modus operasi sindiket berkenaan ialah mengambil dan mengumpul pasport warga Bangladesh dari Pulau Pinang, Melaka dan Johor untuk mencetak dan melekatkan pelekat JIM yang dipalsukan.

Sementara itu dalam serbuan kedua di Subang selepas itu, Khairul Dzaimee berkata Jabatan Imigresen merampas 1,040 pasport palsu dan asli dari pelbagai negara, yang turut mengandungi pelekat PLKS palsu.

Beliau berkata Jabatan Imigresen turut menahan sembilan lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga tempatan dalam serbuan itu.

“Kesemua 18 individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63,” katanya.







Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 19 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.