SEREMBAN 6 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan beliau lebih mengutamakan sekolah Cina swasta selepas menyerahkan sumbangan berjumlah RM450,000 kepada dua sekolah itu baru-baru ini.

Jelasnya, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada bajet berjumlah RM3.5 juta yang disediakan kerajaan negeri untuk sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah agama rakyat (SAR).



“Itu sudah ada dalam bajet dan tak perlu dipertikaikan. Kita beri sebab kebetulan Tahun Baharu Cina. Bukan hanya sekolah Cina dapat, sekolah tahfiz juga akan dapat, kita beri sedikit-sedikit selepas ini.

“Sekolah agama yang kita beri ini juga sekolah swasta. SAR ada 56 buah berbanding hanya dua sekolah Cina. Daripada bajet RM3.5 juta, sebanyak RM450,000 diberi kepada sekolah Cina, ada RM3.05 juta lagi (baki).

“Zaman (kerajaan) sebelum ini tidak ada peruntukan seperti ini. Sebab itu jangan tuduh, umat Islam kena bijak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Profesionalisme Keguruan SAR Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah di sini hari ini.

Aminuddin mengulas dakwaan yang mengatakan beliau mengutamakan sekolah Cina apabila menyerahkan sumbangan kepada Sekolah Tinggi Chung Hua di sini dan Sekolah Menengah Chung Hua, Port Dickson awal bulan ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta SAR supaya mencontohi sekolah Cina dalam mendapatkan dana termasuk memanfaatkan sumbangan daripada bekas pelajar sekolah.

Katanya, sebagai contoh Sekolah Tinggi Chung Hua berjaya mengumpul RM1.5 juta melalui jualan makanan semasa hari kantin yang mendapat kerjasama dan sokongan alumni sekolah.

“Kita jangan jadi terlalu selesa dan selalu menyalahkan bangsa lain tetapi kita sendiri tidak mahu belajar bagaimana mereka boleh berjaya,” katanya.

Aminuddin turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan membantu membaik pulih bangunan SAR yang telah uzur di negeri ini secara berperingkat-peringkat. – UTUSAN ONLINE



Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my



(Visited 11 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.