SERDANG – Tindakan seorang lelaki membuat laporan palsu berhubung satu kejadian samun yang dialami sehingga mengakibatkan kerugian wang tunai sebanyak RM160,000 akhirnya menjerat diri apabila dia serta seorang lagi rakan subahatnya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihak polis telah menerima satu laporan daripada salah seorang suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai peniaga kedai kelengkapan kereta tentang satu kejadian samun di Taman Kinrara, Bandar Kinrara di sini pada 10 Januari lalu.



“Suspek mendakwa sewaktu kejadian, kereta dipandunya telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda Accord sebelum dia kemudiannya disamun oleh dua lelaki yang melarikan wang tunai sebanyak RM160,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di Bandar Kinrara.

“Selepas siasatan dilakukan, tembelang lelaki tersebut akhirnya terbongkar dan suspek kemudiannya ditahan bersama seorang lagi rakannya dalam dua serbuan berasingan di rumah mereka di Bandar Kinrara dan Batu 9, Selangor semalam dan pihak polis turut menemui wang berjumlah RM49,400,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismadi, sewaktu soal siat dilakukan, kedua-dua supek mengaku telah berpakat untuk mereka cerita bahawa duit yang sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja mereka itu telah disamun oleh dua lelaki.

“Duit RM160,000 itu adalah milik suspek yang juga pemilik syarikat berkenaan dan laporan palsu tersebut dibuat untuk menipu pekerja kedai kelengkapan kereta itu dan menggunakan wang berkenaan untuk melangsaikan pelbagai hutang peribadi mereka berjumlah kira-kira RM100,000.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan mereka akan berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,’ jelasnya.

Dalam pada itu, Ismadi turut memberikan amaran keras kepada orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu kerana ia adalah satu perlakuan jenayah.

“Perbutan itu bukan sahaja menyusahkan pihak polis malahan tindakan ini membazir duit rakyat akibat polis terpaksa menyiasat kes yang tidak berlaku,” tegas beliau. – K! ONLINE




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 20 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.