SHAH ALAM – Setelah lebih 30 tahun beroperasi di dalam bidang perhotelan dan hospitaliti, UiTM Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan penamatan kesemua perkhidmatan dan operasi hospitaliti Resort dan Pusat Konvensyen Intekma (IRCC), Seksyen 7, di sini.

Menurut satu pekeliling yang tular sejak semalam, proses penamatan perkhidmatan dan operasi itu akan dilakukan melalui dua fasa yang mana fasa pertama akan berakhir pada 28 Februari 2019 manakala fasa kedua pada 31 Mac 2019.



“Buat sementara waktu dari 11 Januari 2019 hingga 31 Mac 2019, semua operasi yang sedia ada akan tetap diteruskan mengikut fasa tetapi tiada tempahan baru untuk bilik dan acara akan diambil

“Selain itu, katanya, semua operasi berkaitan perkhidmatan luar makanan dan minuman (F&B) akan turut ditamatkan,” kata pekeliling itu lagi.

Tambah pekeliling itu, sempena penamatan operasi itu, skim penamatan pekerjaan (staff separation scheme – SSS) melibatkan hampir kesemua kakitangan UiTM Hospitality Management Services Sdn. Bhd. (UHMSSB) akan dilaksanakan.

“Skim SSS akan dijalankan mengikut terma dan syarat perkhidmatan kumpulan seperti mana yang termaktub dalam Akta Pekerjaan 1955.

“Keputusan menamatkan perkhidmatan dan operasi perhotelan dan hospitaliti miliknya bukanlah satu keputusan yang mudah bagi pihak pengurusan.

“Pelbagai perbincangan dan rundingan telah dijalankan bersama Lembaga Pengarah dan pihak berkepentingan bagi mencapai kata sepakat berkenaan hal ini,” ujarnya.

Katanya, masalah operasi dan kewangan yang dihadapi UHMSSB sepanjang empat tahun lalu berikutan fasiliti IRCC di Shah Alam yang usang merupakan antara faktor penting penamatan kesemua perkhidmatan dan operasinya.

Selain itu, UHMSSB turut mengambil kira industri perhotelan dan hospitaliti yang sangat kompetitif khususnya di sekitar Shah Alam serta keadaan ekonomi yang dijangka lebih mencabar juga
menyukarkan Intekma untuk berdaya saing.

“Pembangunan semula aset dan kemudahan perlu dilaksanakan dan strategi pernigaaan baharu perlu dirangka.

“Sebelum pembangunan semula aset dan kemudahan dilaksanakan, operasi perhotelan dan hospitaliti Intekma akan ditamatkan terlebih dahulu manakala aset dan fasiliti sedia ada akan diubah menjadi penginapan pelajar untuk UiTM Private Education Sdn. Bhd. (INTEC) bagi tempoh tiga tahun yang akan datang mulai Mac 2019.

“Selain itu fasiliti dan kemudahan perkhidmatan sampingan seperti kafe, kantin, dobi dan kedai tuncit akan disediakan melalui pihak ketiga,” katanya.

Justeru itu, bagi membantu staf yang akan menamatkan pekerjaan, pihak pengurusan akan menyediakan perkhidmatan kaunseling serta bantuan mengenai pencarian peluang lain.

Sementara itu, sumber UiTM Holdings menjelaskan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan mengenainya. – K! ONLINE




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 32 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.