KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan pemetaan bagi kawasan-kawasan yang dikesan berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.

Proses ini akan membabitkan kerjasama antara kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani masalah jenayah terhadap kanak-kanak yang turut membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta agensinya iaitu Jabatan kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.



Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata melalui kerjasama ini juga, semua agensi yang berkaitan akan lebih banyak berkongsi segala data dan maklumat yang diperlukan.

“Sebagai contoh, pihak polis mempunyai data dan maklumat berdasarkan kes-kes penderaan terhadap kanak-kanak dan pembuangan bayi maka berdasarkan maklumat sama mereka disarankan berkongsi data berkenaan dengan agensi berkaitan yang lain.

“Perkongsian maklumat seperti ini dapat membantu kementerian dan agensi yang berkaitan dalam pemetaan tempat dan lokasi yang kerap berlaku jenayah berkenaan,” katanya selepas menghadiri Forum Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat di Maktab PDRM, Cheras, di sini, hari ini.

Beliau berkata melalui pemetaan berkenaan, pihak kementerian yang berkaitan juga mampu mengenalpasti lokasi sasaran sebelum tindakan susulan seperti mengadakan lebih banyak program pendidikan bersama masyarakat kawasan berkenaan dapat diadakan.

“Apa yang penting adalah ‘crime awareness’ atau kesedaran jenayah terhadap individu yang mencurigakan sebelum masyarakat di kawasan berkenaan dapat segera bertindak menyampaikan sesuatu maklumat kepada polis.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk masyarakat untuk menjadi aktivis kanak-kanak dan dengan kerjasama semua pihak kita mampu memerangi ancaman ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Hannah berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga yang menjadi suspek dalam kes penderaan kanak-kanak ataupun jenayah seksual, maka jiran tetangga atau masyarakat sekeliling haruslah bertindak untuk melakukan sesuatu perkara yang tepat.

Katanya, pihak kementeriannya berharap dapat mengurangkan kes jenayah penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi yang meningkat setiap tahun kepada sasaran 20 peratus yang boleh dianggap membanggakan berbanding mencatat peningkatan.




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 8 times, 1 visits today)
Please follow and like us:

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.