YAN – Bapa kepada dua beradik yang maut akibat ditetak dan dikelar dalam kejadian di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini Selasa lalu menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan suspek yang merupakan rakan sekampungnya.

Menurut Idris Saad, 47, mereka berkawan baik dan sering minum bersama di kedai makan bersama penduduk kampung lain.



“Dia (suspek) juga ada datang ke rumah dua hari sebelum kejadian memohon maaf kepada saya dan saya maafkan, namun saya tidak tahu kenapa dia berbuat demikian.

“Saya rasa mungkin dia rasa bersalah dan malu kerana selalu minta duit dalam RM10 daripada saya dan orang kampung selain kami juga selalu belanja dia minum di kedai makan,” katanya ketika ditemui di rumah kakaknya di kampung tersebut di sini hari ini.

Katanya, suspek yang tidak bekerja merupakan seorang yang panas baran dan pernah beberapa kali mengamuk sebelum ini termasuk memukul bekas abang iparnya sendiri sehingga menerima 15 jahitan.

“Dia juga dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga yang dihadapinya,” ujarnya.

Sementara itu, rakan suspek, Omar Bakar, 53, berkata, dia dan suspek sempat menunaikan solat Maghrib berjemaah di Surau Al-Falah pada malam kejadian.

“Dia beritahu saya dia tertekan tetapi tidak beritahu sebab apa dan hanya meminta dia bersabar sebelum meminta dia ambil wuduk dan solat bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alathrash Wahid mengesahkan suspek berusia 49 tahun yang direman tujuh hari bermula semalam positif dadah jenis kanabis.

“Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian dua kanak-kanak itu adalah akibat daripada kecederaan bahagian depan leher iaitu salur darah utama dan salur pernafasan terpotong atau putus,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan dua beradik, Nurul Hanim Idris, 5, dan Mohammad Hafiz, 1, maut akibat ditetak dan dikelar oleh seorang lelaki ketika sedang tidur di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai kira-kira pukul 11.45 malam Selasa lalu. – K! ONLINE




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 9 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.