SERI MANJUNG – Kegiatan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membawa padah apabila mereka ditahan di hadapan sebuah pasaraya di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mereka ditahan selepas pihak polis menerima maklumat bahawa terdapat sebuah kereta Proton Iswara berada dalam keadaan mencurigakan.



“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki berusia antara 38 hingga 58 tahun berada dalam kereta tersebut. Salah seorang daripadanya memakai vest yang mempunyai lambang KPDNHEP.

“Siasatan lanjut mendapati mereka baru sahaja selesai menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan menyerbu sebuah kedai runcit di Sitiawan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Tambah Muhammad Hanif, mereka bertiga turut mengaku telah melakukan tiga serbuan di Manjung sejak bulan Oktober lalu.

“Salah seorang daripada mereka menggunakan pengalaman sebagai bekas pekerja di kementerian tersebut untuk melakukan perbuatan tersebut.

“Polis merampas sehelai vest berlambang KPDNHEP, sehelai jaket, baju T, tali pinggang, sepasang gari, sebatang cota, beberapa kotak rokok dan sebuah kereta proton iswara.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai jenayah rekod lampau,” katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 11 Januari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.- K! ONLINE




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 20 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.