KUALA LUMPUR: Kontraktor landskap dan pembersihan di ibu negara dan Selangor perlu mengelak daripada menggunakan karung plastik kerana tindakan itu bertentangan dengan kempen penggunaan bahan mesra alam.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penggunaan beg plastik itu memberi isyarat salah kepada orang ramai walaupun terdapat produk alternatif mesra alam dan bio urai.



“Pihak berkuasa tempatan perlu menunjukkan contoh baik berkaitan isu penggunaan beg plastik kerana kerajaan berusaha mendidik orang ramai mengenai bahaya pencemaran plastik terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mei lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan, berkata kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk mendidik orang awam sebelum penggunaan beg plastik diharamkan di seluruh negara.

Ini berikutan tahap kesedaran orang ramai mengenai isu itu masih rendah walaupun larangan penggunaannya dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka dan Johor.

Lam Thye berkata, kebanyakan kontraktor masih menggunakan beg plastik bagi kerja pembersihan seperti mengumpul ranting, daun dan bahan buangan lain sebelum dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Katanya, penggunaan beg plastik secara meluas oleh kontraktor landskap dan pembersihan mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang memilih jalan mudah, berbanding mencari jalan penyelesaian lebih baik seperti menggunakan bakul buluh yang mesra alam.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan menangani isu plastik pakai buang dan pelan hala tuju Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ke arah mencapai tahap sifar penggunaan bahan di negara ini.

“Mengikut pelan itu, Malaysia akan menghapuskan sepenuhnya penggunaan plastik pakai buang menjelang 2030,” katanya.

Lam Thye berkata, kejayaan pelan itu bergantung kepada sokongan pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan dan negeri, pengeluar, pembekal, syarikat perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.

“Saya yakin, negara mampu mencapai sasaran lebih awal daripada 2030, sekiranya semua pihak memainkan peranan dan tanggungjawab, termasuk membuang sikap mengambil jalan mudah dengan memilih penggunaan bahan mesra alam,” katanya.

Beliau berkata, Persatuan Pengilang Plastik Malaysia menganggarkan setiap rakyat Malaysia secara purata membuang 300 beg plastik setiap tahun.

“Malaysia yang turut menduduki tempat kelapan antara 10 negara teratas berdepan masalah sisa plastik di dunia,” katanya.




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 20 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.