KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminda kriteria pemilihan atlet kebangsaan untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan seperti Sukan Asia dan Sukan SEA bermula tahun ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata kriteria pemilihan akan ditentukan berdasarkan lima peringkat temasya sukan – peringkat dunia, peringkat Asia, peringkat SEA, peringkat belia dan lain-lain peringkat.



“Satu daripada perubahan utama dalam kriteria pemilihan akan berdasarkan musim semasa terbaik dalam tempoh 12 bulan, bukannya keputusan di temasya sukan sebelumnya untuk layak bagi kategori dibiayai sepenuhnya atau dibiayai sendiri,” kata Mohamad Norza dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif MOM untuk 2018 – 2021 di Wisma OCM, di sini hari ini.

Beliau berkata pemilihan ketua kontinjen untuk temasya sukan akan dibuat menerusi satu senarai calon yang dipilih MOM.

Bagi mereka yang tidak disenaraikan, mereka boleh mengemukakan permohonan menerusi pencalonan oleh persatuan sukan kebangsaan dan sebuah jawatankuasa pencarian akan dibentuk untuk melihat calon-calon sesuai dan mempelawa mereka untuk memohon.

Mohamad Norza berkata jawatankuasa pemilihan dianggotai beliau sendiri selaku Presiden MOM, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, dua anggota bebas yang berpengalaman luas dalam sukan dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang menjadi ex officio jawatankuasa tanpa hak mengundi.





Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 16 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.