IPOH: Lelaki warga emas maut selepas kediamannya di Jalan Tingkat Zarib 5B, Taman Pinji Mewah, di sini terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.40 pagi itu, mangsa Oi Hock Chuan, 63, ditemui di bahagian ruang tamu rumah teres dua tingkat didiaminya itu.



Peniaga barangan lusuh di Pasar Karat Ipoh itu dikatakan tinggal bersendirian di rumah terbabit sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Nashuha Fahd Ahmad Mijar, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu jam 4.15 pagi daripada jiran mangsa dan tiba ke lokasi enam minit kemudian.

Menurutnya, dua jentera membabitkan 13 anggota BBP Pasir Puteh tiba di lokasi dan pihaknya mendapati kebakaran sudah membabitkan kira-kira 80 peratus rumah berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati rumah berkenaan dipenuhi dengan pelbagai barangan lusuh di bahagian tingkat bawah.

“Kami difahamkan mangsa sedar ketika kebakaran berlaku dan sudah keluar daripada rumah, namun masuk kembali dipercayai untuk menyelamatkan barangannya.

“Bomba menemui mangsa di bahagian ruang tamu rumah dalam keadaan kesan terbakar tahap dua,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran susulan tekanan air rendah di kawasan terbabit selain berdepan dengan timbunan barangan lusuh mudah terbakar yang memenuhi tingkat bawah rumah berkenaan.

“Operasi pemadaman api turut dibantu enam anggota BBP Simpang Pulai dan operasi tamat jam 7.39 pagi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 13 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.