KOTA KINABALU: Gambar dua individu dipercayai lelaki dan wanita sedang mandi sambil berpelukan dalam keadaan bogel di kolam air pancut di Jalan Gaya di sini yang viral di laman sosial, menimbulkan kemarahan netizen.

Gambar berkenaan dipercayai dirakam pada lewat malam berikutan kelihatan banyak kedai di kawasan itu sudah tutup, namun tidak dapat dipastikan bila ia dirakamkan.



Berikutan itu, gambar terbabit mendapat pelbagai komen netizen, kebanyakannya berpendapat kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku kerana mencemarkan imej bandar raya ini sebagai destinasi percutian pelancong.

Tidak dapat dipastikan juga sama ada pelaku dalam video berkenaan adalah pelancong asing atau warga tempatan.

Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lizawana Matin, ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan gambar terbabit.

Bagaimanapun, katanya, DBKK memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita akan berbincang mengenai perkara ini dan mungkin antara inisiatif yang boleh diambil adalah membuat pemantauan lebih kerap di bandar raya terutama lokasi terbabit.

“Selain itu, DBKK akan memasang papan tanda ‘dilarang mandi’ di kawasan itu supaya orang awam terutama pelancong lebih peka dan tidak mandi di kolam berkenaan.

“Sekiranya masih ada individu yang berdegil dan ditangkap, mereka boleh didakwa kerana melanggar peraturan,” katanya.

Lizawana juga menasihatkan orang awam supaya menggunakan kemudahan awam dengan betul dan tidak mandi di tempat yang menjadi tumpuan awam.

“Ini termasuk kolam air pancut, kolam hiasan dan kawasan terbuka lain sekitar bandar raya.

“Kelakuan seumpama ini pastinya boleh mengundang ketidakselesaan kepada warga bandar raya selain memberi tanggapan kurang baik dalam kalangan pelancong asing lain,” katanya.




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 136 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.