JOHOR BAHRU: Notis Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang menyatakan penduduk kampung dianggap bukan warga negara sekiranya gagal memberi maklumat keluarga, mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

TMJ menerusi laman Twitternya malam tadi, menyatakan bahawa itu adalah masalah yang akan timbul sekiranya pelantikan pemimpin dibuat tanpa sebarang kajian.



Beliau berkata, perkara seperti itu tidak akan berlaku sekiranya pihak bertanggungjawab melantik mereka yang benar-benar layak untuk memegang jawatan.

“Ini masalahnya apabila melantik orang suka-suka tanpa kajian. Sepatutnya mesti melalui proses peralihan dan juga memilih mereka yang betul-betul layak.

“Kerajaan juga mesti bekerjasama dengan Pegawai Daerah untuk membimbing mereka dalam menjalankan tugas dengan baik,” tulisnya.

Notis MPKK kepada penduduk Kampung Simpang dan Rangkaian di Kota Tinggi itu viral di media sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai yang menganggapnya sebagai ugutan kepada penduduk kampung.

Notis itu turut memaklumkan pihak MPKK tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini disebabkan kegagalan memberi maklumat keluarga.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Abd Razak Esa, berkata notis berkenaan dianggap ugutan kepada pihak yang tidak mahu memberi kerjasama.

“Surat ini adalah satu ugutan kepada rakyat atau penduduk setempat. Kenapa pula bila ada penduduk tidak mahu memberikan maklumat keluarga, pihak terbabit tidak mahu membantu penduduk itu.

“Sepatutnya ketua kampung memainkan peranan membantu atau memberikan pandangan yang baik, bukan cara macam ini, jika tidak bekerjasama terus hukum penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Simpang dan Rangkaian, Zailani Doladi, mengakui kewujudan notis pemberitahuan yang ditujukan kepada penduduk kampung itu.

Beliau mengakui kecewa dengan sikap penduduk yang enggan memberi kerjasama menyalurkan maklumat keluarga.

Zailani yang baharu memegang jawatan sebagai ketua kampung kira-kira dua bulan lalu, bertanggungjawab menjaga tujuh kampung iaitu Kampung Padang, Singapura, Sentosa, Tanah Putih, Perpat, Telok Hutan Lesung dan Simpang.

Katanya, notis pemberitahuan itu mula diedarkan sejak Disember tahun lalu sebelum pihaknya mendakwa mengenal pasti kira-kira lima keluarga yang tidak memberi kerjasama.

“Saya mengarahkan jawatan kuasa di setiap kampung bagi mendapatkan maklumat seperti berapa ramai penduduk, yang miskin, daripada segi pendidikan, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU).

“Tujuannya saya mahu meningkatkan pentadbiran kampung di bawah jagaan saya termasuk ke mana arah tuju pendidikan dan keselamatan penduduk sekiranya berlaku bencana alam,” katanya.




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 162 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.