SHAH ALAM: Seorang bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di tingkat bawah Flat PKNS, Jalan Plumbum, Seksyen 7, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa M Thiyaru, 30, diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum mangsa dibawa oleh orang ramai ke Hospital Shah Alam.



Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib, berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki dan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.

“Motif serangan masih dalam siasatan dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus pegawai penyiasat, ASP Vignesh Kumar, di talian 03-55202222.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak.

Dalam video itu turut kelihatan empat lelaki dan seorang wanita cuba membantu mangsa. – BERNAMA




Please Subscribe to JohorTimes Youtube – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 29 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.