AMALAN MEMBACA AKAN MENINGKATKAN PENGUASAAN ILMU – PERMAISURI JOHOR


DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah hari ini menyeru kepada masyarakat agar memperkasakan amalan membaca demi meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan.

Titah Baginda, pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) harus digunakan sebaiknya sebagai galakan untuk menggiatkan lagi amalan membaca dalam kalangan rakyat.

“Kempen galakan membaca oleh pihak perpustakaan UTM dan perpustakaan negeri juga haruslah sentiasa diadakan bagi menggalakkan lebih ramai lagi mahasiswa dan juga orang ramai, terutamanya para pelajar sekolah membaca.

“Saya percaya, dengan amalan membaca ini, kita dapat meningkatkan penguasaan ilmu serta memperkukuhkan bahasa kebangsaan kita dan bahasa-bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris,” titah Baginda ketika berangkat ke Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-61, hari ini (11 November).

Tuanku Permaisuri, yang juga merupakan Canselor UTM, turut menggesa semua warga universiti itu agar menggandakan komitmen dan usaha untuk terus memajukannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi ulung di peringkat nasional dan global.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UTM atas pelbagai hadiah dan pengiktirafan yang diterima sama ada di peringkat nasional mahupun global, termasuklah pengiktirafan terkini iaitu tempat ke-47 dalam QS Asia University Rankings 2019 daripada tempat ke-49 pada 2018 dan kedudukan ke-53 dalam QS World University Rankings by Subject Engineering & Technology 2019 berbanding kedudukan ke-90 pada 2018,” titah Baginda.

Baginda juga berpesan kepada para graduan agar berbakti kepada negara berdasarkan ilmu yang diperoleh dan tidak melupakan jasa ibu bapa mereka.

“Saya amat berharap agar para graduan tidak sesekali melupakan jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban dalam memastikan para graduan semua berjaya sehingga tamat pengajian.

“Hargailah mereka, curahkanlah kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka serta balaslah jasa baik mereka,” titah Baginda.

#theroyaljohor
#royalpressoffice
#johor




~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~












Please Subscribe to JohorTimes – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 5 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.