Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa menganggap tahanan reman terhadap Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai “peluang” untuk anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu membersihkan nama sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Annuar juga menggesa agar pihak berkuasa memberi keadilan sewajarnya dalam siasatan kes yang melibatkan pemimpin Umno.

“Terdapat gambaran pemimpin Umno nak diburu, maka setiap orang dari kita berserah pada pihak berkuasa dan yang penting kalau kita tak lakukan kesalahan tak perlu apa kita bimbangkan.



“Kita harap semua pihak bagi keadilan yang sewajarnya dan bagi rakan-rakan dalam Umno, kita harap ini jadi satu peluang bersihkan nama,” katanya dalam sidang media di PWTC, hari ini.

Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Selain Azeez, abangnya Abdul Latiff dan saudaranya Mohamed Nazri turut direman dengan tempoh sama.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Azeez, S Devanandan berkata ketiga-tiganya ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan Lembaga Tabung Haji.

Semalam jurucakap SPRM dipetik sebagai berkata bahawa penahanan mereka dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes menerima rasuah.

Sementara itu, Annuar berharap supaya siasatan yang dilakukan terhadap Azeez dijalankan mengikut lunas undang-undang yang sewajarnya.

(Visited 15 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.