HUKUMAN LEBIH BERAT MENUNGGU PEMBURU HARAM – JABATAN PERHILITAN

KUALA LUMPUR – Pemburu haram yang memasang dan memiliki jerat bakal berdepan dengan hukuman lebih berat apabila Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dikaji semula, kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Menurutnya, Akta 716 bakal dipinda bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemburu haram yang menggunakan jerat untuk membunuh atau menangkap hidupan liar bagi mendapatkan keuntungan.

“Ini adalah cadangan untuk menambah baik peruntukan undang-undang dan meningkatkan serta mengukuhkan hukuman kepada pesalah yang terlibat.

“Penggunaan jerat merupakan jenayah serius yang boleh menyebabkan kecederaan dan kematian pelbagai spesies hidupan liar hingga ada yang mengalami cacat kekal,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Pada masa ini, individu yang disabitkan kesalahan menggunakan jerat boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.

Datuk Abdul Kadir berkata hukuman itu dilihat tidak setimpal dengan kematian dan nasib hidupan liar yang semakin diancam kepupusan disebabkan oleh kerakusan pemburu haram ini.

Bagaimanapun, draf cadangan kepada pindaan akta itu masih di peringkat cadangan dan akan dibentangkan kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar untuk dibincangkan sebelum diusulkan di Parlimen. BERNAMA

(Visited 6 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com