KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaparkan pengisytiharan harta anggota kabinet dan anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) di portal suruhanjaya itu bermula 1 Okt ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata ini seiring arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan semua wakil rakyat PH bersikap telus dan bebas rasuah.

“Usaha memaparkan pengisytiharan harta ini kali pertama kita lakukan untuk tatapan umum,” katanya selepas menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio untuk memperkenalkan rancangan bual bicara SPRM 360, hari ini.



Menurutnya kesemua anggota kabinet dan wakil rakyat PH perlu membuat pengisytiharan itu kepada Pejabat Perdana Menteri yang kemudian akan menghantar salinannya kepada SPRM untuk dimuat naik di portal suruhanjaya.

Mengulas lanjut, Datuk Shamsun Baharin berkata setakat ini pihaknya belum menerima senarai penuh pengisytiharan berkenaan.

Katanya SPRM dimaklumkan kesemua anggota pentadbiran dan mereka yang berkenaan harus mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh tiga bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.
“Tempoh itu masih berkuat kuasa dan pada 1 Okt nanti kita akan lihat siapa yang sudah melaksanakan pengisytiharan harta itu,” katanya. BERNAMA

(Visited 26 times, 1 visits today)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.