BURUH BINAAN MENGAKU BERSALAH ATAS 16 PERTUDUHAN KESALAHAN IMIGRESEN


PONTIAN – Seorang warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara enam tahun lapan bulan, denda RM30,000 serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Imigresen di Pekan Nanas, dekat sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan.

Hakim Zahilah Md Yusof mengarahkan hukuman dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkapan terhadap Md Mohiuddin Mamun, 40.

Buruh binaan itu menghadapi 14 pertuduhan menyimpan pasport milik orang lain, satu pertuduhan salah guna pas dan satu lagi pertuduhan cuba untuk membuat, memalsukan atau meminda sesuatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan, di bawah Akta Imigresen 1959/63.



Tertuduh didapati melakukan kesemua kesalahan berkenaan pada 27 Ogos tahun ini di dua lokasi iaitu di sebuah premis dan sebuah rumah sewa di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, antara pukul 4 hingga 5 petang.

Atas kesalahan menyimpan pasport milik orang lain, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum maksimum denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, atas kesalahan salah guna pas, Md Mohiuddin didakwa di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan.

Bagi pertuduhan memalsu atau meminda dokumen, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dibaca bersama Seksyen 55D Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam kali.
Kes dikendalikan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Norzuriana Muhammad Nor manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA






Please Subscribe to JohorTimes – https://goo.gl/4jWv8X

Facebook – https://www.facebook.com/johortimes.my
Twitter – https://www.twitter.com/JohorTimes
Instagram – https://www.instagram.com/JohorTimes
Web – https://www.johortimes.my

(Visited 3 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.