Pembangkang Cuba Kelirukan Rakyat Mengenai Isu Pengecualian GST Projek ECRL – @AKaprawi

KUALA LUMPUR, 20 Apr – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi hari ini menyelar tindakan pihak pembangkang sebagai tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk kepentingan politik semata – mata mengenai isu pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, akibat daripada tindakan berkenaan, terdapat segelintir rakyat yang terkeliru dengan tohmahan yang dilemparkan oleh pemimpin parti politik pembangkang yang secara jelas mempermainkan sentimen-sentimen tertentu bagi membangkitkan kemarahan.

“Sikap tidak bertanggungjawab pembangkang ini hanyalah bertujuan kepentingan politik tanpa mengambil kira objektif serta tujuan mengapa pengecualian cukai ini berlaku.

“Lebih mengecewakan lagi apabila para pemimpin pembangkang ini seolah-olah buta atau tuli dengan amalan ini yang biasa dilakukan oleh mana-mana negara terhadap projek-projek Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi beliau hari ini.

Menurut beliau, difahamkan bahawa amalan sedemikian juga turut dilakukan sewaktu zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu pelbagai projek mega kerajaan pada waktu itu juga dikecualikan daripada cukai.

“Penjelasan umum terhadap pengecualian cukai GST bukanlah terhadap syarikat China berkenaan tetapi adalah terhadap Projek ECRL sebagai dua entiti berbeza dan perlu dibezakan adalah sangat mustahak, namun, malangnya pihak pembangkang seolah-olah mahu mensabotaj projek yang bakal memanfaatkan sebilangan besar rakyat dan negara secara amnya.

“Dengan bermulanya projek ECRL ini, peluang pekerjaan khususnya untuk rakyat tempatan akan terbuka luas dan ini bakal mempertingkatkan ekonomi setempat.

“Kos pengangkutan akan menjadi lebih murah dan hasilnya harga barang juga boleh diturunkan selain peluang untuk memperkenalkan produk-produk setempat ke pasaran nasional, katanya.

Aziz Kaprawi berkata, unjuran impak KDNK hasil daripada projek berkenaan juga adalah sejumlah RM50.1 bilion dan mampu meningkatkan pendapatan isi rumah.

“ECRL juga akan menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak ke Pelabuhan Klang yang memungkinkan kargo daripada Pelabuhan Shenzhen tidak lagi perlu melalui Singapura untuk sampai ke Pantai Barat Semenanjung, tetapi boleh diturunkan di Pelabuhan Kuantan kemudian dihantar terus ke Pelabuhan Klang.

“Ini adalah sebahagian daripada manfaat besar hasil pembinaan projek ECRL yang mana akhirnya akan menguntungkan rakyat dan negara.

“Pemimpin pembangkang sekiranya masih lagi mempunyai semangat patriotik, sayangkan negara dan ingin melihat negara dan rakyat negara ini terus maju dan membangun perlu menghentikan serta-merta segala permainan persepsi agar projek ini dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Apa yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang tidak ubah seperti peribahasa lama “Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat diadang.”,” katanya.

(Visited 27 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66