PPBM Gagal Cabar Tindakan SPR

 

KUALA LUMPUR, 11 Apr – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) yang mengarahkan pembubaran sementara parti berkenaan.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shaharuddin Md Salleh memohon untuk mengketepikan notis Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang telah dikeluarkan oleh ROS.

Sebaliknya, mahkamah memutuskan bahawa perkara itu menjadi akademik kerana notis Seksyen 14 (5) yang membenarkan pembubaran sementara parti berkenaan sudah dikeluarkan.

Sementara itu, Hakim Datuk Kamaludin Md Said, dalam membenarkan dua bantahan awal Jabatan Peguam Negara, berkata ini susulan parti itu yang bersetuju dan mengemukakan dokumen seperti yang disyaratkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta pada 29 Mac.

Beliau berkata, isu berkenaan mungkin dipertimbangkan jika Shaharuddin tidak mematuhi Seksyen 14 (2) atas hujah bahawa beliau tidak diberikan masa yang mencukupi.

“Bukan satu pertikaian bahawa Shaharuddin telah mematuhi notis Seksyen 14 (2). Bukan satu pertikaian bahawa (Ketua Pengarah ROS) Surayati (Ibrahim) telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara di bawah Seksyen 14 (5).

“Pandangan saya adalah memandangkan cabaran kepada notis Seksyen 14 (2) bukan lagi satu isu atau akademik, cabaran, jika ada, mesti ke atas Seksyen 14 (5) perintah sementara (pembubaran) yang dikeluarkan oleh responden (ROS),” katanya dalam penghakiman lisan.

Hakim Kamaludin berkata, Shaharuddin bukan dibiarkan tanpa sebarang pilihan, kerana beliau masih boleh merayu dengan menteri yang berkaitan atau, dalam keadaan istimewa apabila ada kerajaan sementara, boleh memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan yang dibuat di bawah Seksyen 14 (5 ).

Manakala, Peguam PPBM, Rosli Dahlan berkata parti berkenaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan memfailkan satu lagi permohonan semakan kehakiman.

(Visited 38 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com