Akhirnya Tun M Guna Simbol PKR Di #PRU14

 

JOHOR BAHRU, 7 Apr – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14.

Pengumuman berkenaan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, di Pasir Gudang, di sini, semalam.

“Saya dengan sukacita ingin maklum kepada tuan-tuan sekalian dan seluruh Malaysia dan dunia bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini, keempat-empat buah parti ini (DAP, PKR, Amanah) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai individu, akan menggunakan simbol Keadilan,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, ianya bukan mudah mahu meminta setiap ahli parti di dalam PH untuk menggugurkan simbol mereka.

“DAP sudah guna lambang Roket selama 60 tahun. Yang lain juga sayang simbol masing-masing tetapi pihak PH ingin bersatu padu, maka, kita setuju keempat-empat parti menggunakan satu simbol,” katanya.

Sementara itu, PH turut mengumumkan 20 tawaran baharu buat rakyat Negeri Johor pada PRU14 yang disampaikan oleh Setiausaha Harapan Johor Datuk Osman Sapian itu antaranya mewujudkan Universiti Johor, membina 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), melaksanakan Skim Sewa-Beli RMMJ dan menyediakan tapak sekolah bagi sekolah agama persendirian, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Pada masa yang sama, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pula mengumumkan senarai calon Amanah yang akan bertanding di zon selatan Johor. Mereka ialah Exco Pemuda Amanah Johor Abrary Ramly bertanding di DUN Pasir Raja, Timbalan Ketua Amanah Pengerang Ahmad Kamah Nor (DUN Penawar), Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad (DUN Kota Iskandar), Setiausaha Organisasi Amanah Suhaizan Kaiat (DUN Kukup) manakala Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (Parlimen Pulai).

(Visited 36 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com