BN Johor Buktikan Bahawa Rakyat Johor Terbeban Dengan Ekonomi Yang Dikuasai Najib Razak.

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub menyifatkan Barisan Nasional (BN) Negeri Johor telah membuktikan bahawa rakyat Johor ketika ini sememangnya terbeban dengan ekonomi negara yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, BN Johor kebelakangan ini kerap menjalankan program jualan barangan harian kepada rakyat di Negeri Johor khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dengan menjual barangan 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Terkini program anjuran Ahli Parlimen Tanjung Piai bersama Wanita UMNO dan dikhabarkan ribuan yang hadir ke program jualan murah barangan keperluan berkenaan.

“Saya cukup hairan apabila UMNO BN negeri Johor cukup berbangga dengan ribuan ramai rakyat yang hadir untuk mendapatkan barangan harian seperti tepung, beras, gula, minyak dan makanan harian lain yang mana lebih murah daripada pasaran, malah saya tertanya-tanya siapa sebenarnya kerajaan dan siapa yang pembangkang?

“Tindakan mereka sebenarnya secara tidak langsung melawan ketua mereka sendiri dan seolah-olah mahu memberi mesej bahawa UMNO BN Johor juga tidak bersetuju dengan pengurusan ekonomi di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang sudah menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat, katanya dalam satu kenyataan rasmi beliau.

Menurut Salahuddin, pihaknya di Pakatan Harapan (PH) sudah lama menjalankan program sedemikian untuk rakyat Johor kerana mereka tiada kuasa untuk menurunkan harga barang.

“Tidak seperti UMNO BN yang kini berkuasa sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Namun, atas dasar kesedaran untuk membela kebajikan rakyat Johor, kami usahakan juga dengan dana yang kami ada.

“Sejak Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau sudah menjalankan dasar Rasionalisasi Subsidi yang menatijahkan pelbagai subsidi rakyat telah ditarik balik dan antaranya adalah subsidi minyak, gula, tepung dan sebagainya.

“Malah, Presiden UMNO berkenaan juga sudah melaksanakan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah menambah beban rakyat sehingga menyembah bumi, katanya.

Beliau berkata, Negara Malaysia hari ini tidak lagi dipimpin oleh mereka yang berjiwa rakyat dan mereka mengurus ekonomi demi kepentingan mereka sahaja, malah mereka mencuri wang rakyat, rumah rakyat Johor dan mengikat perut rakyat dengan gaji yang rendah serta barang yang mahal.

“Adakah UMNO BN Negeri Johor tidak sedar akan permasalahan berkenaan sehingga sanggup bersengkongkol dengan pencuri wang jutaan rakyat demi kepentingan sendiri serta sanggup berdiam diri walau exconya sendiri mencuri rumah rakyat Johor dan membiarkan rakyat terbeban dengan ekonomi yang dikuasai Najib Razak.

“Saya yakin dan percaya, rakyat Negeri Johor bijak dan akan membuat keputusan yang tepat demi masa kini serta masa hadapan rakyat Negeri Johor dan Malaysia yang lebih baik, katanya.

(Visited 41 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.