Sultan Johor Cadang Wujudkan Pejabat Konsulat Jeneral China Di Johor

JOHOR BAHRU, 2 Apr – DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencadangkan penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di Johor Bahru bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Negeri Johor dan Republik China yang sudah lama terjalin.

Baginda bertitah, Johor kini sedang berkembang pesat dan terdapat juga ramai pekerja daripada China yang bekerja di Negeri Johor khususnya di kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri terutamanya dalam sektor pembinaan.

“Johor juga menjadi tumpuan utama pelancong daripada China, malah jika diwujudkan sebuah pejabat konsulat di Johor Bahru maka ia memudahkan mereka jika berdepan dengan sebarang masalah untuk membuat rujukan segera tanpa perlu ke Pejabat Duta Besar China di Kuala Lumpur”, titah Baginda.

Sementara itu, Duta Besar China Ke Malaysia, Bai Tian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Tuanku Sultan Ibrahim di Kelab Polo DiRaja Johor, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini menyambut baik cadangan yang diberikan oleh Baginda Sultan Johor.

Bai Tian berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada kepemimpinan tertinggi kerajaan di Beijing, China dalam tempoh terdekat.

“Saya memuji ketokohan Baginda dalam memajukan serta membangunkan Johor sehingga dikenali ramai di pentas dunia, malah Negeri Johor turut menjadi antara tumpuan penting pelabur dari China.

“Saya juga memandang tinggi terhadap ketegasan Sultan Johor yang sentiasa mahukan rakyat di negeri ini bersatu-padu tanpa mengira agama atau bangsa”, katanya.

(Visited 34 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.