Pemimpin dan Ahli UMNO Perlu Berani Seperti Tan Sri Rafidah Aziz.

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pemimpin dan ahli UMNO ketika ini perlu tampil lebih berani seperti Veteran UMNO merangkap mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau memberi respon terhadap satu kenyataan rasmi Tan Sri Rafidah Aziz yang ada menyebut mengenai tindakan memilih pemimpin yang rasuah adalah sama seperti membenarkan salah laku yang dilakukan ahli politik yang berkenaan.

“Tan Sri Rafidah juga memberi amaran bahawa rakyat Malaysia akan dianggap bersubahat dengan perbuatan rasuah dan pengkhianatan sekiranya pengundi secara sukarela mengundi ahli politik yang korup.

“Kenyataan beliau ditujukan secara umum dan boleh jadi kepada sesiapa sahaja, tetapi rakyat pasti memahami kenyataan beliau ditujukan secara khusus memandangkan senario politik semasa di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan rasmi beliau.

Menurut Mahfuz, perbuatan siapa yang pedas dengan memakan cili api sudah dapat dilihat apabila muncul macai yang melenting setelah membaca kritikan Tan Sri Rais Yatim terhadap pemerintah kleptokrasi sebelum ini.

“Rakyat akan dapat melihat pemimpin UMNO seperti cacing yang kepanasan, marah-marah dan melenting dengan memberi kenyataan balas terhadap kenyataan Tan Sri Rafidah itu.

“Korup dan rasuah seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Rafidah disinonimkan dengan parti UMNO BN serta puak elit politik di negara ini, katanya.

Mahfuz berkata, Tan Sri Rafidah ada menasihati rakyat suapaya jangan memilih parti berkenaan dan kepimpinannya yang terbukti korup dengan rasuah kerana ia bererti mereka bersubahat membenarkan salah laku pemimpin terbabit.

“Ini bermakna Tan Sri Rafidah juga sedar UMNO dan pemimpinnya telah rosak teruk disebabkan rasuah atau korupsi yang membarah.

“Biarlah PRU 14 nanti parti UMNO BN dan parti-parti yang mahu bekerjasama dengannya jatuh dihukum rakyat yang sayangkan tanahair ini, katanya.

Tambah Mahfuz, Tan Sri Rafidah adalah pemimpin besar UMNO di zamannya dan sudah bergelumang dengan parti berkenaan serta jatuh bangun dengan parti beliau sejak dahulu sehingga sekarang.

“Mustahil beliau tidak sayangkan UMNO dengan kenyataan sinikal seperti itu. Malah adalah sukar menerima kenyataan beliau dan lain-lain pemimpin veteran jika mereka mahu mengkhianati perjuangan mereka selama ini.

“Namun, bagi Tan Sri Rafidah mungkin ada sesuatu yang beliau nampak ada yang tidak kena, maka beliau terpaksa memperli, mengata, menyindir serta sinis secara halus atau kasar terhadap elit politik yang dilihat telah jauh tersasar membawa haluan negara ini untuk ‘kenyang perut sendiri.

“Beliau kini mulai merasai denyut nadi rakyat dan memahami keluhan rakyat marhaen serta mengerti semua keperitan berkenaan, katanya.

Beliau berkata, Veteran UMNO berkenaan juga tahu asal usul terjadinya masalah korup berkenaan sehingga nama Malaysia menjadi buruk dan busuk di serata dunia.

“Keterdesakan itu memaksa beliau bersuara lantang menegur dan menasihatkan segelintir pihak yang keterlaluan dalam memerintah negara ini.

“Jika veteran UMNO seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim telah bersuara, apa lagi yang masih tinggal dalam UMNO, mereka mungkin mewakili suara-suara akar umbi UMNO yang resah terhadap isu rasuah yang membelenggu Malaysia.

“Apakah mungkin selepas mereka bersuara ada lebih ramai lagi pemimpin veteran UMNO lain pula tampil bangkit bersuara dan lantang terhadap kebejatan pemimpin negara menjelang PRU ke 14, katanya.

(Visited 40 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.