Tiga Ahli Parlimen Digantung Gagal Mohon Maaf Kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Tiga Ahli Parlimen diarah keluar daripada Dewan Rakyat dan digantung selama sepuluh hari selepas gagal memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Dewan Rakyat telah menggantung Ahli Parlimen Beruas (DAP), Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Batu Gajah (DAP), V Sivakumar dan Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming.

“Semua perbuatan dan kenyataan secara bersama yang dibuat ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan adalah satu penghinaan terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi Dewan Rakyat, demikian bererti penghinaan kepada Dewan Rakyat.



“Oleh itu, saya memerintahkan Ahli Parlimen Beruas, Batu Gajah dan Taiping untuk keluar daripada Majlis Mesyuarat selama sepuluh hari mulai 26 Mac 2018,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Pandikar, dalam satu surat 14 Mac yang lalu kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen daripada parti DAP berkenaan berkata apa yang diucapkan mereka supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan meletak jawatan adalah satu bentuk penghinaan kepada Dewan Rakyat dan memberi peluang kepada mereka untuk memohon maaf secara terbuka.

Katanya, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas diambil.

Tan Sri Pandikar dilaporkan tersinggung dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa speaker tidak sepatutnya menjadi sekutu untuk menutup skandal rasuah dan sebagai speaker, Pandikar gagal menegakkan kebenaran, justeru, perkara yang sepatutnya untuk dilaku adalah meletakkan jawatan.

Perkara berkenaan susulan daripada keputusan Pandikar yang menolak usul segera mereka berhubung isu rampasan kapal persiaran milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB dan mengenai Kapal The Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Benoa, Bali, akhir bulan lalu.

Pemfailan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB

(Visited 39 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.