Kerajaan Negeri Johor Bentang Kad Laporan Pencapaian Johor 2013 – 2018 @KhaledNordin

 

BATU PAHAT, 25 Mac – Kerajaan Negeri hari ini membentang Kad Laporan Pencapaian Kerajaan Johor 2013 –2018 bertemakan ‘Membangun Dekad Baharu Johor’, yang memaparkan prestasi cemerlang kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor sepanjang hampir lima tahun.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui laporan berkenaan pihaknya berharap rakyat boleh mendapatkan maklumat dengan lebih tepat mengenai kemajuan semasa Negeri Johor.

“Melalui laporan ini, kita berharap rakyat akan mendapat maklumat yang tepat mengenai kemampuan kerajaan negeri mengotakan janji sama ada berdasarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke 13 peringkat negeri dan semua inisiatif yang diumumkan sejak Mei 2013.



“Semua kejayaan ini adalah hasil daripada permuafakatan dan usaha gigih semua pihak di Johor tanpa mengira latar belakang”, katanya.

Menurut beliau, antara pencapaian utama yang diketengahkan dalam laporan berkenaan adalah kedudukan ekonomi Johor yang bertambah kukuh berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melepasi paras RM100 billion pada tahun 2016.

“Selain itu, Johor terus menjadi pilihan utama pelabur dengan menerima pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan yang tertinggi di Malaysia sejak 2013 dengan jumlah RM114.9 billion.

“Ini dibuktikan apabila sebanyak 732,325 pekerjaan telah diwujudkan di Iskandar Malaysia, sementara 45,764 pekerjaan baharu muncul di bawah pembangunan Pusat Petroleum Bersepadu Pengerang, katanya.

Beliau berkata, selari dengan keperluan ‘Suara Hati Johor’, lebih 18,000 unit rumah mampu milik telah berjaya disiapkan sejak 2013 dan penyumbang utamanya adalah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) iaitu sebanyak 16,010 unit.

“Daripada sudut kesejahteraan penduduk luar bandar pula, sepanjang 1,546.36 kilometer rangkaian jalan kampung sudah dinaik taraf samada dibina baharu atau dilebarkan iaitu 155 peratus pencapaian berbanding akujanji 1,000 kilometer.

“Johor kini lebih selamat dengan indeks jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 46 peratus berbanding jumlah kes yang dicatatkan pada tahun 2011. Orang ramai boleh mendapatkan laporan berkenaan dengan melayari www.dekadbaharujohor.my , katanya.

(Visited 43 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.